Covid-19: Hanya 7 Kes Dicatatkan Hari Ini, Terendah Sejak PKP

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA: Kes baharu COVID-19 di Malaysia mencapai satu angka, hari ini, membabitkan tujuh jangkitan yang juga bilangan terendah semenjak PKP dilaksanakan , kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, jangkitan baharu itu menjadikan jumlah kes positif wabak berkenaan kini mencecah 8,329.

Beliau berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula ialah 1,518 kes.

“Daripada tujuh kes baharu dilaporkan, dua adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, manakala lima lagi penularan di dalam negara membabitkan warganegara Malaysia,” katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 20 kes pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang ke rumah, hari ini.

Ia menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada COVID-19 dan sudah dibenarkan pulang ialah 6,694 atau 80.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian, hari ini, dengan jumlahnya kekal 117 atau 1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.- Berita Harian

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

574