Parlimen Tawau Wujudkan ‘Grup Whatsapp’ Mudahkan Aduan Wakil Penduduk

 Christina (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Perhubungan P.190 Tawau T.Y Fung (dua dari kiri) ketika menyampaikan pelitup muka kepada penerima di pejabatnya, hari ini.

TAWAU : Parlimen Tawau mewujudkan ‘Grup Whatsapp’ untuk memudahkan wakil penduduk di daerah ini mengemukakan cadangan dan mengadu permasalahan di kawasan masing-masing.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew berkata, kemudahan itu merupakan inisiatif dan platform yang disediakan oleh Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tawau supaya setiap aduan dapat diterima dengan cepat.

“Wakil penduduk juga boleh terus ke Pejabat Parlimen Tawau  berjumpa dengan kakitangan di sini untuk membuat sebarang aduan di tempat masing-masing,” katanya ketika di temui di Pejabat Parlimen Tawau, di sini semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tawau berkata, pihaknya juga kerap mengadakan perjumpaan bersama dengan wakil-wakil masyarakat untuk membincangkan situasi dan masalah mereka.

“Selalunya kami akan mengadakan perjumpaan itu setiap sebulan sekali. Namun, sejak penularan wabak COVID-19 ini, kita tidak dapat adakan sebegitu kerap dan hari ini kita laksanakan semula untuk mendengar setiap masalah mereka,”katanya.

Terdahulu, dalam perbincangan yang diadakan hari ini, Christina menerima aduan berkaitan dengan masalah air di kawasan Kampung Kinabutan Kecil, Batu 4 Jalan Apas dan masalah lampu jalan menuju ke sekolah agama di Kampung Balung Kokos.

Christina mengarahkan kakitangannya untuk bertindak segera berdasarkan aduan itu. Wakil penduduk kampung itu juga disarankan untuk menulis surat berdasarkan aduan mereka supaya memudahkan beliau panjangkan kepada kementerian berkaitan. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2113