PKPB: Perutusan Khas PM Hari Ini Dinantikan Rakyat

Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR: Menjelang sama ada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan atau berakhir pada Selasa ini, perutusan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek, hari ini pasti dinanti-nantikan rakyat.

Perutusan khas itu akan disiarkan secara langsung pada jam 3 petang menerusi saluran stesen televisyen tempatan serta rangkaian media sosial.

Jika diimbas kembali, berikutan penularan pandemik Covid-19, Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas, disusuli PKPB bermula 4 Mei.

Pelaksanaan PKP dan PKPB jelas membuahkan hasil dalam memerangi penularan pandemik Covid-19 berdasarkan statistik penurunan kes positif baharu dari sehari ke sehari, sekali gus membolehkan pembukaan beberapa sektor ekonomi lagi untuk dimanfaatkan segenap lapisan masyarakat di negara ini.

Jelas sekali, perutusan khas yang akan disampaikan Muhyiddin amat dinanti-nantikan rakyat di negara ini khususnya pemain industri ekonomi.

Mengenai situasi jangkitan kes positif Covid-19 yang dilaporkan sehingga 12 tengah hari semalam, walaupun kembali melonjak ke tiga angka kepada 277 kes berbanding 93 kes pada hari sebelumnya, Malaysia dilihat semakin menghampiri situasi bebas Covid-19.

Pada sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan daripada 277 kes, hanya enam kes melibatkan warganegara Malaysia, iaitu empat kes penularan tempatan dalam kalangan warganegara manakala dua lagi adalah kes import warganegara yang mendapat jangkitan daripada luar negara.

Sementara itu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi temu bual untuk dokumentari mengenai PKP terbitan Bernama TV baru-baru ini, memaklumkan Malaysia bakal menyaksikan perubahan besar dalam dasar pengambilan pekerja asing dan kawalan terhadap pendatang tanpa izin (PATI) pasca-pandemik Covid-19.

Beliau dipetik sebagai berkata, sudah tiba masanya dasar itu disemak semula susulan warga asing yang dilihat sebagai antara kumpulan penyumbang kepada peningkatan kes Covid-19 di negara ini serta beberapa negara lain termasuk Singapura.

“Ekonomi termasuk sektor pelancongan dilihat sangat terkesan dengan penularan Covid-19, menyaksikan banyak hotel dan kilang bakal ditutup serta pembuangan pekerja berlaku sekali gus menyebabkan jumlah pengangguran meningkat,” katanya.

Mengulas mengenai pemulihan ekonomi pasca-Covid-19 yang agak perlahan, beliau berkata, dasar kerajaan pasti mengutamakan rakyat tempatan untuk bekerja dalam negara berbanding warga asing. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *