Guru Di Sabah Mula Bertugas 8 Jun Ini

Dr Mistirine Radin

KOTA KINABALU: Semua guru di Sabah dijangka mula kembali ke tempat bertugas bermula Isnin, depan.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Dr Mistirine Radin berkata, ia selaras dengan surat pekeliling Pemakluman Mengenai Arahan Kepada Guru Kembali Ke Tempat Bertugas yang dikeluarkan Pejabat Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang dikeluarkan hari ini.

“Menurut surat berkenaan, ia jelas menyatakan semua guru dikehendaki berada di tempat bertugas masing-masing dan bersedia untuk bertugas selepas tamat cuti pertengahan tahun iaitu pada 7 Jun 2020 bagi sekolah kategori A dan 8 Jun 2020 bagi sekolah kategori B.

“Sabah termasuk dalam katergori B iaitu pada Isnin depan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), KPM, Adzman Talib berkata, pemakluman itu selaras dengan arahan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Bagi Tempoh Semasa dan Selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bertarikh 6 Mei 2020.

“Semua penjawat awam diarahkan berada di tempat bertugas masing-masing sebagai persediaan untuk kembali bertugas.

“Ia bertujuan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan berada pada tahap baik dan efektif,” katanya.

Tambah Adzman, surat arahan kepada guru kembali bertugas boleh dikeluarkan oleh Ketua Jabatan masing-masing.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *