82 Lagi PATI Dihantar Pulang Dari Tawau Hari Ini

PATI warga Indonesia yang dihantar pulang melalui Pelabuhan CIQS Tawau, hari ini. -Foto NSTP /Abdul Rahemang Taiming.

TAWAU: “Jika diberi peluang kedua, saya mahu kembali semula ke Malaysia tetapi melalui saluran yang betul,” kata warga Indonesia, Dzulifiqor Sugainto, 39, pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diusir pulang, hari ini.

Dzulfiqor antara 82 orang PATI diusir pulang ke negara asal menggunakan perkhidmatan feri penumpang dari Pelabuhan Kastam Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) Tawau ke Pelabuhan Tunon Taka, di Nunukan Indonesia jam 8.30 pagi ini.

Dia yang berasal di wilayah Sulawesi Selatan, berkata pengalaman menjalani hukuman penjara atas kesalahan Imigresen (tiada dokumen perjalanan sah) sebelum ditempatkan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) tidak mematahkan semangatnya untuk kembali mencari rezeki di negara ini.

“Di sini aman, peluang pekerjaan juga banyak dengan pendapatan yang saya fikir cukup lumayan, cuma perlu berhati-hati jangan sampai ditipu ejen pekerjaan atau individu yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Dzulifiqor mengakui, pernah ditipu ejen ketika kali pertama menjejakkan kaki di sebuah ladang di sini, pada 2012.

Program khas penghantaran pulang PATI itu diselaraskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dan agensi kerajaan yang lain.

Pengarah MKN Sabah, Sharifah Siti Saleha Habib Yussof, berkata kesemua 82 tahanan iaitu 77 lelaki dan lima wanita, didapati negatif selepas menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum diusir pulang ke negara asal masing-masing, hari ini.

Beliau berkata, sepanjang tahun ini seramai 3,753 orang termasuk PATI warganegara India, China, Pakistan dan Vietnam telah diusir melalui jalan udara yang dikendalikan JIM Sabah menjadikan jumlah keseluruhan pengusiran sejak tahun 1990 seramai 594,920 orang.

“MKN merakamkan penghargaan kepada pihak Konsulat Republik Indonesia yang telah memberi kerjasama dalam memastikan rakyat mereka dapat pulang ke negara asal.

“Sehubungan itu, kami juga mengharapkan kerjasama negara jiran lain agar tahanan dapat diterima kembali ke negara asal mereka terutamanya tahanan warganegara Filipina yang kini masih ditempatkan di PTS seluruh negeri Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Siti Saleha berkata, pihaknya komited dalam memastikan semua tahanan dapat kembali ke negara asal untuk menikmati hak mereka dan menjalani kehidupan biasa di negara sendiri.

Jelasnya, tindakan penguatkuasaan terhadap PATI tetap diteruskan walaupun negara berhadapan dengan ancaman wabak COVID-19 selari dengan usaha kerajaan membanteraskehadiran PATI di negeri Sabah.

“Kerjasama semua pihak terutamanya majikan supaya tidak melindungi atau menggaji PATI demi keselamatan dan kesejahteraan negeri Sabah,” katanya.- Berita Harian

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *