Jeffrey Diingatkan Jangan Bagi Banyak Alasan, Hantar Sahaja Stateless

KOTA KINABALU: Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengingatkan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Datuk Dr. Jeffrey Kitingan agar tidak memberikan banyak alasan sebaliknya melakukan segera apa yang dikehendaki beliau selama ini iaitu mengusir warga asing tanpa negara (stateless) di Sabah.

Ketua Menteri berkata, jika sebelum ini Jeffrey banyak mendesak kerajaan melakukannya, kini tugasnya untuk melaksanakan desakan-desakan tersebut.

“Beliau sekarang menteri Persekutuan, dulu tuduh Timbalan Menteri Dalam Negeri Warisan, dia sudah timbalan menteri janganlah bagi alasan selesaikan saja, saya sendiri sudah beritahu Majlis Keselamatan Negara (MKN) mana-mana pendatang asing tanpa izin (PATI) hantar balik, berapa kali mahu mesyuarat.

“Sekarang terpulang kepada Jeffrey, ini tanggungjawab mereka jangan tanya saya apa perlu dibuat, dulu mereka suruh saya buat sekarang masa mereka, sepatutnya buatlah apa yang mereka suruh saya buat sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar semalam.

Sementara itu, mengulas tentang permintaan Jeffrey supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat bagaimana Parti Warisan Sabah (Warisan) boleh membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum lalu, Mohd. Shafie berkata tiada seringgit ditawarkan ketika UPKO bertindak menyokong Warisan.

Katanya, tujuan UPKO bersetuju membentuk kerajaan bersama Warisan dan Pakatan Harapan adalah untuk memastikan Sabah ditadbir oleh parti tempatan.

Mohd. Shafie berkata, Jeffrey yang sepatutnya disiasat kerana selepas sekian lama menjadi pembangkang, beliau tiba-tiba sahaja melanggar prinsip dan menyokong Tan Sri Musa Aman.

“Tanyalah si Jeffrey, dulu dia pembangkang orang yang undi dia sebagai pembangkang, sekarang dia masuk dengan Musa itu macam mana, yang suruh siasat saya, siasat dulu Jeffrey kenapa dia sokong Musa.

“Tanya sama Madius kenapa dia sokong saya, saya tidak bagi duit janganlah tuduh sana sini ini bukan budaya kita orang sertai kami sebab mereka percaya Sabahan boleh bersatu,” kata beliau.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *