Covid-19: Tiada Kes Baharu Di Sabah, Ranau Kini Zon Hijau

KOTA KINABALU: Dua lagi pesakit jangkitan Covid-19 di Sabah telah sembuh dan dibenarkan pulang, hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh kini sebanyak 335.

Statistik terbaharu yang dimuat naik Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, sebentar tadi turut menyaksikan tiada kes positif baharu, hari ini, dengan jumlah keseluruhan kes yang pernah direkodkan di negeri ini kekal sebanyak 348 kes.

Ini bermakna, jumlah kes aktif juga menurun kepada lapan kes berbanding 10 kes, semalam.

Selain itu, jumlah daerah yang masih berada dalam zon kuning bagi kes aktif turut berkurangan menjadi lima daerah selepas Ranau kembali dikategorikan sebagai zon hijau.

Enam lagi daerah yang masih mempunyai kes aktif ialah Tawau yang mencatat tiga kes selain Kota Kinabalu, Lahad Datu, Tuaran, Beaufort dan Putatan yang masing-masing mencatat satu kes.

Dalam pada itu, tiada kematian dicatatkan di Sabah, hari ini, dengan jumlah korban akibat Covid-19 di negeri ini kekal lima kes iaitu tiga kes berlaku di Kota Kinabalu manakala Tawau dan Tambunan masing-masing satu kes.

Sabah juga kini menjadi negeri ketujuh tertinggi mencatatkan Covid-19 di belakang Kuala Lumpur yang mencatat sebanyak 2,370, Selangor (1,930), Negeri Sembilan (905), Johor (676), Sarawak (552) dan Pahang (362).- Berita Sabah

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3548