Cedera Bantu Padam Rumah Kakak Terbakar

Lelaki yang cedera ketika membantu memadamkan kebakaran rumah kakak di Kampung Rancangan Klias, Beaufort pagi tadi.  – Foto Bomba Beaufort

BEAUFORT: Seorang lelaki cedera di tangan ketika membantu memadamkan kebakaran rumah kakaknya di Kampung Rancangan Klias, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 pagi itu, mangsa yang berusia 38 tahun mengalami luka pada tangan kiri selepas dikatakan terkena cermin ketika ingin memadam kebakaran.

Rumah didiami mangsa yang terletak bersebelahan rumah kakaknya itu turut terbakar 25 peratus di bahagian dapur.

Anggota bomba memadamkan kebakaran di Kampung Rancangan Klias pagi tadi.

Bagaimanapun kakak mangsa bersama tiga ahli keluarga mereka berjaya keluar dari rumah berkenaan.

Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Mohamad Hasbullah Nenggok berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran membabitkan rumah jam 9.57 pagi.

Katanya, seramai enam anggota bersama sebuah jentera dan kenderaan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dikerah ke lokasi bagi memadam kebakaran.

“Setiba di lokasi kejadian, kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat sudah terbakar 90 peratus dan pasukan bomba terus bertindak memadam kebakaran daripada merebak ke rumah berhampiran.

“Api berjaya dikawal jam 10.50 pagi dan kebakaran memusnahkan sebuah rumah manakala sebuah lagi terbakar 25 peratus di bahagian dapur,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Operasi memadam turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Gadong dan Rancangan Klias.

Hasbullah berkata, seorang lelaki cedera ketika cuba membantu memadam api manakala empat penghuni rumah berkenaan berjaya menyelamatkan diri.

“Maklumat awal api bermula dari bilik atas rumah namun punca kebakaran masih dalam siasatan pasukan bomba.

“Jumlah kerugian dianggarkan RM100,000,” katanya.- Berita Sabah

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

811