‘Rindu Mahu Melancong Ke Sabah?’.. Kalau Negatif Covid-19 Jemput Datang

KOTA KINABALU: Keindahan kawasan pelancongan di Sabah seperti Pekan Kundasang dan Gunung Kinabalu serta pantai-pantai yang putih memukau pasti dirindui oleh rakyat Malaysia sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu bagi mengawal penularan Covid-19.

Sudah tentu ramai rakyat dari Semenanjung yang sebelum ini telah menempah percutian ke Sabah turut bersedih apabila terpaksa dibatalkan berikutan pematuhan kepada perintah berkenaan.

Justeru, berita baik kepada semua, bermula hari ini, Sabah kembali membuka pintu kepada semua rakyat Malaysia untuk datang sama ada dari Semenanjung, Sarawak atau Labuan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, untuk membolehkan pengunjung dibenarkan masuk, mereka cuma perlu melakukan saringan Covid-19 tiga hari sebelum perjalanan dan disahkan negatif daripada wabak itu.

“Saya telah maklumkan semalam bahawa rakyat Malaysia yang berada di Semenanjung siapa sahaja mereka tetapi dia kena tunjukkan sijil pengesahan dalam tempoh tiga hari maknanya mereka tidak perlu kuarantin jadi mereka boleh mendaftar ke hotel dan berurusan kalau mereka dari Semenanjung kalau kita kuarantin 14 hari balik ke Semenanjung 14 hari lagi mereka tidak mahu datang.

“Tetapi kita mesti memantau data saya tengok purata kes satu, dua jadi saya fikir ini masanya kita terbuka sedikit tetapi pastikan mereka hijau, maknanya negatif, kalau negatif mereka boleh datang tetapi jangan pula negatif ini dua tiga bulan punya kelayakan sebab sakit ini melalui kontak kita tidak tahu jadi kita mesti periksa mereka bersih.

“Yang boleh datang orang yang negatif yang positif kita tidak galakan sama ada dia dari Kelantan, Perlis, Kedah, Selangor kita benarkan ini yang kita katakan ada urusan dia berniaga ke saya galakan mereka tinggal di hotel, sebab kit asudah buka hotel, ada hotel sudah mahu dijual jadi ini salah satu pendekatan kita,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Terdahulu beliau melancarkan aplikasi Sabahtrace iaitu sistem yang dibangunkan untuk merekodkan data setiap individu yang masuk ke mana-mana premis perniagaan secara digital.

Maklumat yang direkodkan adalah seperti nama, nombor telefon dan suhu badan untuk memudahkan pihak berkuasa menyimpan data bagi menangani wabak koronavirus.

Mohd. Shafie berkata, sijil pengesahan bebas Covid-19 perlu ditunjukkan di pintu masuk, manakala surat kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak diperlukan kerana yang paling penting adalah tidak dijangkiti Covid-19.

Katanya, langkah itu diambil untuk memastikan ekonomi negeri dapat dipulihkan secara beransur-ansur selepas terjejas teruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tafsiran dia rakyat Sabah yang ada atau pun rakyat dari Semenanjung kita mana tahu dia pelancong atau ada urusan kerja kalau kita spesifik sangat susah nanti kenapa orang itu boleh datang kenapa saya tidak boleh cuma yang tidak boleh datang ke Sabah bila dia positif,” kata beliau.

SumbeR: BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2824