Covid-19: Benarkan Sekolah Beroperasi Bulan Depan

Kakitangan sekolah mengukur jarak di antara meja mengikut prosedur operasi standard (SOP) di Kuala Lumpur. Kementerian Pendidikan akan mengeluarkan garis panduan pergerakan pelajar di dalam sekolah esok.


KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam (ABIM) mencadangkan Majlis Keselamatan Negara memberi kebenaran kepada sekolah rendah dan menengah beroperasi secara berperingkat-peringkat, mulai bulan hadapan.

Cadangan itu susulan kebenaran operasi yang diberikan kepada taman asuhan kanak-kanak (taska) dan taman didikan kanak-kanak (tadika).

Naib Presiden ABIM, Radin Muhd Imaduddin Radin Abdul Halim, berkata kebenaran itu wajar untuk memudahkan sebahagian ibu bapa yang kembali bekerja dan anak mereka bersekolah.

“Ia juga juga akan membuka ruang kepada pengusaha bas dan aktiviti ekonomi berkaitan untuk kembali menjana pendapatan yang sekian lama tertangguh.

“Bagaimanapun, ini memerlukan prosedur operasi standard (SOP) khas bagi memenuhi keperluan ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, operasi sekolah sudah tentu mengubah kebiasaan baharu dalam menguruskan hal ehwal persekolahan seperti penjadualan harian, tempoh masa persekolahan serta amalan pedagogi serta pentaksiran yang berubah sepenuhnya.

“Tidak terkecuali keperluan untuk menggariskan langkah SOP yang ketat serta jelas seperti pemeriksaan suhu, pendaftaran rekod murid dan guru secara harian, termasuklah pergerakan murid.

“Sistem penggiliran hari bersekolah murid dan waktu persekolahan yang pendek juga perlu dipertimbang, termasuklah menetapkan bilangan tertentu murid dalam bilik darjah,” kata beliau.- Berita Harian

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *