Op Mabuk: Lima Pemandu Ditahan Di Penampang

Pemeriksaan nafas sedang dilakukan oleh anggota polis.

PENAMPANG: Lima pemandu mabuk ditahan dalam operasi sekatan jalan Op Mabuk yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar daerah Penampang dan daerah Putatan, sejak Sabtu lalu.

Operasi yang dijalankan sempena musim perayaan itu turut mengeluarkan sebanyak 21 saman terhadap pelbagai jenis kesalahan kepada pemandu dan penunggang motosikal.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, sepanjang musim perayaan ini, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dengan kerjasama Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah mengambil langkah memperbanyakkan sekatan jalan raya bagi memantau keselamatan jalan raya di daerah itu.

Katanya, operasi itu bertujuan memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya bagi mengelakkan berlakunya kemalangan di jalan raya.

“Dalam operasi di Jalan Bundusan, di sini, kita berjaya menahan lima pemandu lelaki kerana memandu dibawah pengaruh alkohol melebihi had yang dibenarkan.

“Selain itu, dalam operasi sama, polis turut mengeluarkan sebanyak 21 keping saman atas pelbagai kesalahan jalan raya,” katanya dalam kenyataan medianya yang dikeluarkan, hari ini.

Op Mabuk yang dijalankan di sekitar Penampang.

Mohd Haris berkata, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya kerana ia bukan sahaja membahayakan diri sendiri malahan pengguna lain.

Katanya, operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dalam usaha mengesan dan mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.- Berita Sabah

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1623