Covid-19: Sabah Catat Satu Kes Baharu & Tiga Discaj Hospital Hari Ini

KOTA KINABALU: Sabah hari ini mencatat pertambahan satu kes Covid-19 baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kes di Sabah ketika ini sebanyak 347 kes.

Bagaimanapun, jumlah kes Covid-19 aktif di negeri ini terus mencatatkan penurunan apabila tiga lagi pesakit jangkitan wabak itu telah sembuh dan discaj, menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh kini sebanyak 332.

Jumlah terkini kes aktif di Sabah adalah 10 berbanding 12 kes, semalam.

Statistik terbaharu yang dimuat naik Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung dalam Facebook beliau hari ini menyaksikan pertambahan satu kes itu berlaku di daerah Putatan.

Ini bermakna Putatan kembali ke zon kuning bagi kes aktif namun dua lagi daerah kini dikategorikan sebagai zon hijau selepas bebas dari kes Covid-19 aktif iaitu Kinabatangan dan Semporna.

Ketika ini, jumlah daerah yang dikategorikan sebagai zon kuning kerana mencatat kes aktif ialah sebanyak enam daerah iaitu Tawau yang mencatat empat kes, Kota Kinabalu (2), Lahad Datu (1), Putatan (1), Tuaran (1), dan Ranau (1).

Dalam pada itu, tiada kematian dicatatkan di Sabah, hari ini, dengan jumlah korban akibat Covid-19 di negeri ini kekal lima kes iaitu tiga kes berlaku di Kota Kinabalu manakala Tawau dan Tambunan masing-masing satu kes.

Sabah juga kini menjadi negeri ketujuh tertinggi mencatatkan Covid-19 di belakang Kuala Lumpur yang mencatat sebanyak 2,039, Selangor (1,920), Negeri Sembilan (860), Johor (675), Sarawak (552) dan Pahang (361).- Berita Sabah

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *