Covid-19: Satu Lagi Individu Ingkar Kuarantin Di Sabah, Kali Ini Di Tuaran

KOTA KINABALU: Satu lagi kes orang awam didapati ingkar menjalani perintah kuarantin di rumah dan kali ini di daerah Tuaran.

Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) juga telah mengeluarkan surat amaran kepada individu berkenaan.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, pihaknya menasihatkan setiap individu yang diarahkan untuk dikuarantin perlu melaksanakan perintah ini dengan penuh tanggungjawab.

Sehingga 29 Mei, seramai 7,291 orang sedang menjalani perintah Home Quarantine dan seramai 1,254 orang masih berada di 48 buah Pusat Kuarantin di seluruh Sabah.

Sementara itu, dalam pengawalan penularan jangkitan Covid-19, Unit Inspektorat dan Perundangan (UIP) JKNS bersama agensi lain dalam Operasi Bersepadu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memeriksa sebanyak 894 premis pada 29 Mei.

“Daripada jumlah itu, 13 premis telah diarah tutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan

Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana pemilik premis tidak mematuhi penjarakan sosial dan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Premis yang diarah tutup adalah sebuah kedai telekomunikasi di Sandakan dan 12 premis di Lahad Datu. Di Lahad Datu, premis yang ditutup adalah empat mini market, tiga gerai makanan dan minuman, dua restoran, dua kedai serbaneka dan satu kedai runcit.

Christina berkata, pihak JKNS menyeru kepada semua pengusaha serta orang ramai untuk mematuhi SOP yang telah disarankan oleh kerajaan dalam usaha memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19 bukan sahaja dalam kalangan pekerja tetapi juga kepada masyarakat agar tidak berlaku jangkitan di dalam kedai. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

4506