Sukan & Pendidikan Berpeluang Kembali ‘Beroperasi’

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media berhubung situasi semasa jangkitan COVID-19 di Putrajaya.

PUTRAJAYA: Sektor sosial seperti sukan dan pendidikan, berpotensi ‘dibenarkan’ beroperasi semula, sekiranya kadar kes baharu penularan tempatan COVID-19 kekal mencatatkan dua atau satu angka.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertimbangan untuk memberikan lebih banyak kelonggaran itu dapat dibuat memandangkan penularan jangkitan dalam kalangan penduduk tempatan dapat dikawal.

“Selepas lebih 24 hari sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan, kita nampak disiplin sosial dalam kalangan masyarakat semakin meningkat dan kekal utuh.

“Memasuki tempoh seminggu selepas raya juga kita lihat kes membabitkan rakyat Malaysia yang positif jangkitan COVID-19 adalah hanya 10 kes.

“Ia petanda positif. Kita harap untuk minggu berikutnya dalam musim perayaan Aidilfitri ini, kes baharu COVID-19 kekal pada satu atau dua angka.

“Jika ia dapat dicapai, pada 9 Jun nanti, kita akan lihat pendekatan menyeluruh untuk buka lebih banyak sektor dan berikan kelonggaran bersesuaian,” katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini. – Berita Harian

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

809