
LAHAD DATU: Akibat gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP), 12 lagi premis diarah tutup serta-merta dalam Operasi Bersepadu Pematuhan Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, jumlah itu membabit tujuh kedai runcit dan lima restoran.

“Terdahulu, dalam operasi yang dilakukan pada jam 8 pagi hingga 5 petang tadi, sebanyak 110 premis perniagaan di sekitar daerah ini diperiksa bagi memastikan pematuhan SOP dilakukan.
“Bagaimanapun, 12 daripadanya dikesan melakukan beberapa kesalahan berkaitan,” katanya kepada media, di sini, hari ini.
Tambahnya, tiada sebarang kompaun dikeluarkan pihaknya, namun, semua 12 premis tersebut diarahkan tutup serta-merta.
“Terdapat lima SOP operasi premis yang ditetapkan sempena tempoh PKPB iaitu penjarakan sosial, penyediaan pensanitasi tangan atau sabun disinki, pelitup muka, pengambilan suhu dan buku catatan.

“Justeru, 12 premis terbabit dikesan gagal mematuhi satu atau lebih daripada lima SOP tersebut,” katanya.
Menurut Nasri, selain polis, operasi tersebut turut dilakukan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).- BorneoToday
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost