Semua Peniaga Pasar KK, Kinabatangan & Keningau Negatif Covid-19

KOTA KINABALU: Semua peniaga di beberapa pasar di daerah ini, Kinabatangan dan Keningau yang menjalani ujian saringan Covid-19 disahkan negatif jangkitan wabak berkenaan.

Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr. Christina Rundi berkata, semua peniaga berkenaan telah disaring melibatkan pengambilan 534 sampel.

Katanya, saringan akan diteruskandi daerah-daerah lain secara berperingkat selepas ini.

“Sehingga semalam, bilangan kumulatif ujian Covid-19 bagi negeri Sabah berjumlah 83,718,” katanya.

Sementara itu katanya, kawalan di semua pintu masuk di Sabah diteruskan termasuk di lapangan terbang yang menerima beberapa lagi penerbangan masuk.

“Semalam, sejumlah 13 penerbangan telah tiba di Kota Kinabalu iaitu dua penerbangan sewa khas yang membawa balik 574 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dari Semenanjung dan 10 penerbangan komersil serta satu penerbangan TUDM yang membawa 413 penumpang.

“Manakala seramai 213 orang telah disaring di pintu masuk Merapok-Sindumin dan 385 orang dari Labuan disaring di Terminal Feri Menumbok. Seramai 302 individu telah diambil sampel untuk ujian Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, menerusi Operasi Bersepadu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Unit Inspektorat dan Perundangan (UIP) JKNS bersama agensi lain telah memeriksa sebanyak 964 premis semalam.

Katanya, daripada jumlah itu, tiga premis iaitu dua pasar raya dan satu kedai runcit diarah tutup di Lahad Datu kerana pemilik premis tidak mematuhi arahan penjarakan sosial.

Tambahnya, sehingga 27 Mei seramai 6,968 orang sedang menjalani perintah kuarantin di rumah dan seramai 1,946 orang masih berada di 53 buah pusat kuarantin di seluruh negeri serta tiada pelanggaran dilaporkan.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *