Mahkamah Tawau Denda Maksimum RM6,000 Pengawal Keselamatan Memandu Mabuk

TAWAU: Akibat memandu di bawah pengaruh alkohol September tahun lalu, pengawal keselamatan didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen Tawau di sini, hari ini.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud membuat keputusan itu selepas Ngipak Anak Lanting, 36, mengaku bersalah sebaik pertuduhan kes dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan, Ngipak didapati memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol melebihi paras dibenarkan di Jalan Kuhara dekat sini, kira-kira jam 11 pagi pada 21 September tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333/87) yang memperuntukkan hukuman denda antara RM1,000 hingga RM6,000 dan boleh dipenjarakan sehingga 12 bulan.

Mengikut fakta kes, Ngipak yang memandu pacuan empat roda (4WD) ditahan menerusi Op Mabuk selepas hasil ujian pernafasannya didapati positif.

Hasil ujian mendapati kandungan alkohol dalam badan tertuduh sebanyak 173 miligram etil Alkohol dalam 100 mililiter darah melebihi had sebanyak 93 miligram daripada had dibenarkan.

Awang Kerisnada, turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Asisten Superintenden Joan Lee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.- Berita Harian

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *