KKM Tahan Pekerja Asing & Memburu Seorang Lagi ‘Lari’ Dari Ujian Saringan Covid-19 Di Tawau

Kakitangan PKT ketika melakukan pemeriksaan selepas menerima aduan awam berhubung kehadiran dua pekerja asing sebuah ladang kelapa sawit di Tawau.

TAWAU: Pejabat Kesihatan Tawau (PTK) sedang memburu seorang pekerja asing yang melarikan diri dari menjalani ujian saringan Covid-19, selepas dikesan masuk ke daerah ini secara haram, di sebuah ladang, di sini, semalam.

Difahamkan, suspek antara dua individu yang masuk ke daerah ini dari Indonesia menerusi jalan tikus pada hari pertama sambutan Hari Raya Aidilfitri, Ahad lalu, iaitu dalam tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurut sumber, pekerja ladang berkenaan bersama seorang lagi rakannya pulang ke Indonesia sebelum perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Mereka dipercayai mengambil kesempatan cuti umum sempena Hari Raya Aidilfitri, untuk menyeludup masuk ke daerah ini menerusi jalan tikus, bagi membolehkan mereka bekerja semula di ladang berkenaan.

Bagaimanapun, orang awam yang curiga melihat kehadiran suspek secara tiba-tiba di situ segera memaklumkan polis bantuan dan pihak berkuasa termasuk PKT.

Pegawai Kesihatan Tawau Dr G Navindran ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

“Sebaik menerima maklumat, PKT segera ke rumah pekerja ladang berkenaan dan berjaya menahan seorang lelaki yang didakwa antara yang masuk ke Tawau dari negara jiran, baru-baru ini.

“Lelaki itu dibawa keluar dari ladang berkenaan untuk menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum dikuarantin,” katanya.

Bagaimanapun, Navindran berkata, pihaknya kini sedang mengesan seorang lagi suspek yang dipercayai melarikan diri selepas menyedari kehadiran PKT di situ. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *