Culik, ESSCom Sahkan Terima Risikan Rancangan KFR Abu Sayyaf

LAHAD DATU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) mengesahkan menerima risikan mengenai rancangan kumpulan militan Abu Sayyaf (ASG) melakukan penculikan untuk wang tebusan (KFR) di perairan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone)

Komandernya, Datuk Hazani Ghazali berkata ESSCom kini diletakkan dalam keadaan amat berjaga-jaga serta telah mengambil langkah-langkah perlu termasuk meningkatkan kesiapsiagaan dan rondaan di perairan Esszone.

“Kami berkongsi maklumat itu dengan pihak berkuasa Filipina selain meningkatkan kawalan keselamatan di perairan negara.

“Komuniti maritim juga dalam keadaan berwaspada dan memaklumkan kami pergerakan kapal mereka serta bot-bot yang mencurigakan,” katanya kepada Bernama.

Semalam, Perjanjian Kerjasama Serantau bagi Membanteras Lanun dan Rompakan Bersenjata terhadap Kapal di Asia (ReCAAP) mengeluarkan amaran bahawa kapal-kapal yang melalui Laut Sulu-Sulawesi berisiko menjadi sasaran penculikan oleh ASG.

Menurut Pusat Perkongsian Maklumat ReCAAP, wujud ancaman penculikan oleh militan ASG di perairan Sabah dan kumpulan itu menyasarkan ahli perniagaan yang kaya atau bot nelayan serta lain-lain kapal yang bergerak perlahan melintasi kawasan tersebut.

Pusat itu mengeluarkan amaran selepas menerima maklumat rasmi daripada Pengawal Pantai Filipina berhubung kehadiran lima militan ASG lengkap bersenjata di Tawi-Tawi baru-baru ini.

Susulan itu, ReCAAP menasihati kapal agar lebih berwaspada ketika melintasi perairan timur Sabah dan Laut Sulu-Sulawesi. -BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *