Malang Pemandu Cuai Kereta Terbabas Di Kota Belud

Perodua Bezza yang rosak teruk akibat merempuh sebatang pokok di Kampung Pintasan, Kota Belud.

KOTA BELUD: Malang menimpa seorang lelaki apabila bukan saja kereta dipandunya terbabas dan merempuh pokok di Kampung Pintasan, Kota Belud, semalam, malah dia turut disaman atas kesalahan cuai.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah berkata, dalam kejadian 10 pagi itu, lelaki berusia 32 tahun yang memandu Perodua Bezza berkenaan dari arah Kampung Pintasan menghala pekan Kota Belud.

“Sebaik tiba di lokasi, dia mendakwa mengelak anjing yang melintas ke kiri jalan sebelum hilang kawalan.

“Akibat insiden itu, dia terbabas di bahu jalan lalu merempuh sebatang pokok sehingga tumbang dan menyebabkan kerosakan teruk pada bahagian hadapan kereta,” katanya.

Menurutnya, pemandu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Tujuan pemandu membuat laporan adalah untuk menuntut insuran kemalangan namun siasatan yang dijalankan mendapati kemalangan disebabkan kecuaian dan pemandu disaman.

“Pemandu bebas daripada sebarang alkohol atau dadah manakala permukaan jalan raya dua hala berturap tar serta cuaca baik,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, pemandu dikenakan Saman POL 257 mengikut Peraturan 10 LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalu-Lintas 1959.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *