Kerajaan Disaran Gantung Pengeluaran, Penjualan Arak

gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 26 Mei: PAS menyarankan agar kerajaan segera menggantung semua pengeluaran, perniagaan dan penjualan arak sehingga semua langkah baharu dapat diambil untuk menghalang pemandu memandu dalam keadaan mabuk.

Ketua Penerangan PAS Kamaruzaman Mohamad berkata parti itu memandang serius kes kemalangan maut membabitkan pemandu mabuk yang semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.

“Melihat kepada kekerapan isu kemalangan membabitkan pemandu mabuk, PAS dengan ini mencadangkan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin agar segera menggantung semua pengeluaran, perniagaan dan penjualan arak sehingga semua langkah baharu dapat diambil.

“Tragedi pemandu mabuk bukanlah perkara yang boleh dipandang remeh. Kesalahan ini berpunca daripada kelemahan perundangan sedia ada serta penguatkuasaan selain sifat pentingkan diri dan degil pemabuk,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dalam tempoh penggantungan itu, kerajaan juga perlu menubuhkan satu Jawatankuasa Khas Kabinet melibatkan beberapa kementerian untuk segera bertindak menangani isu tersebut.

Kamaruzaman berkata melalui langkah ini, PAS meminta Jabatan Kastam dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menggantung semua lesen penjualan arak dan minuman beralkohol yang dijual secara terbuka di rangkaian kedai serbaneka 24 jam.

Nyawa orang awam adalah keutamaan yang harus difikirkan kerajaan secara serius kerana hal ini telah menjadi satu lagi punca peningkatan kemalangan terutama yang meragut nyawa di jalan raya atau di lebuh raya, katanya.

Beliau berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah meletakkan Malaysia di tangga ke-10 dalam senarai pengambilan alkohol terbanyak dunia.

Katanya pengambilan bir di negara ini membimbangkan kerana berdasarkan statistik yang dikeluarkan WHO menunjukkan bahawa rakyat Malaysia berbelanja lebih RM2 bilion untuk minuman beralkohol dengan purata 15 liter per kapita pada 2016.- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1003