SANDAKAN: Ketika orang lain meluangkan masa menyambut Aidilfitri dengan keluarga, Yunizam Yusof, pula sibuk menghantar jenazah dengan ada antara destinasi mengambil masa lima jam untuk sampai.
Lebih mengharukan, pemuda itu yang bergiat aktif dalam aktiviti sukarelawan dengan menyediakan perkhidmatan van jenazah percuma turut membantu penduduk miskin tanpa mengira batas agama.
Hari ini saja, Yunizam yang dikenali sebagai Abam Botak melalui akaun Facebooknya menghantar dua jenazah beragama Kristian ke Kampung Napagang dan Kampung Mangkawago di Tongod yang mengambil masa lima jam untuk sampai dan perlu melalui sungai serta jalan gravel.
Yunizam berkata, dia dihubungi waris jenazah yang memintanya membantu mereka menghantar jenazah ke dua kampung itu semalam.
“Sampai di rumah mendiang kami mengusung keranda beramai-ramai ke atas rumah. Aku melihat rumahnya sangat daif.
“Lantai rumahnya tidak bertikar. Nampak jelas lubang-lubang kecil di celah susunan lantai.
“Isteri (mendiang) yang berada di situ meraung sekuat hati. Aku yang melihat keadaan itu tanpa sedar air mata mula mengalir,” katanya.
Ditanya sama ada sempat meluangkan masa bersama keluarga untuk menyambut Syawal, Yunizam berkata, dia cuma meluangkan masa beberapa jam bersama anak dan isteri sebelum melaksanakan tanggungjawab itu.
Malahan, pada hari pertama Syawal juga, pemuda itu dan rakan-rakannya turut membantu menguruskan dua jenazah.
“Kami tiada ‘cuti’. Esok pun ada waris minta bantu hantar jenazah ke Kampung Imbak, Tongod,” katanya.
Yunizam dan rakan-rakannya bergiat aktif menerusi perkhidmatan van jenazah percuma sejak Oktober 2018 dan setakat ini, mereka menyediakan dua van serta sebuah pacuan empat roda untuk melakukan operasi itu.
Sebelum ini, pemuda itu juga terkenal kerana sumbangannya membantu masyarakat miskin menerusi perkhidmatan kereta percuma ke hospital dan memberi makanan percuma kepada gelandangan. – BorneoToday
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost