Selamat Hari Raya Kepada Semua Rakyat, Maaf Jika Ada Kekhilafan – Shafie

KOTA KINABALU: Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mewakili Kerajaan Sabah memohon ampun dan maaf kepada seluruh rakyat Sabah sekiranya ada kelemahan pentadbiran terutama ketika menangani wabak Covid-19.

Ketua Menteri berkata, wabak tersebut telah melumpuhkan ekonomi dan memberi kesan kepada rakyat, justeru setiap langkah yang diambil pihak berkuasa mungkin agak menyukarkan, namun terpaksa dibuat demi memastikan keselamatan rakyat Sabah sentiasa terjamin.

Katanya, Aidilfitri boleh disambut tetapi rakyat perlu mematuhi arahan yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar risiko jangkitan wabak Covid-19 dapat dielakkan.

“Saya bagi pihak kerajaan negeri ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat yang ada yang telah pun menyambut baik sahutan kerajaan untuk berada di tempat yang dilindungi khususnya berada di rumah untuk mengelakkan daripada dijangkiti oleh wabak Covid-19.

“Bukanlah tujuan kita untuk menyekat atau tidak memberi kebebasan kepada semua masyarakat di negara kita khususnya di Sabah untuk menziarahi dan juga meraihkan perayaan-perayaan tertentu tapi menyedari hakikat bahawa wabak ini satu penyakit yang mudah berjangkit dan tidak ada ubat dia, maka dengan itu salah satu langkah yang untuk mengelak iaitu jangan kita ada kontak yang begitu rapat.

“Tidak harus ada jumlah yang begitu ramai yang memungkinkan jangkitan penyakit ini akan merebak ke merata tempat, mungkin anak-anak, orang-orang dewasa dan orang tua, masyarakat yang mempunyai penyakit akan mudah dijangkiti,” katanya.

Mohd. Shafie berharap walaupun sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak semeriah sebelum ini, namun beliau bersama isteri dan seluruh keluarganya sentiasa mendoakan agar setiap rakyat Sabah sentiasa hidup sejahtera dan dilimpahi kemakmuran.

Tambah beliau, kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk memastikan rakyat Sabah dapat bersama-sama menempuhi segala kesukaran sepanjang wabak Covid-19 sehingga dapat kembali menjalani kehidupan yang normal.

“Maka saya bagi pihak negeri Sabah ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada kesemua lapisan rakyat di negeri ini dan saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan ampun dan maaf sekiranya langkah-langkah yang sudah kita lakukan telah sedikit sebanyak menjejaskan kehidupan tuan-tuan dan puan-puan.

“Dengan niat dan tujuan yang baik, kita mahu menyelamatkan nyawa manusia yang berada di negeri ini untuk tidak dijangkiti wabak ini.

“Dalam kesempatan ini sekali lagi, saya dan isteri serta sekeluarga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *