MPS Nafi Pengunjung Pasar Umum Sandakan Bersesak

Gambar yang tular di media sosial.

SANDAKAN: Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) menafikan orang ramai bersesak dan tidak mengamalkan penjarakkan sosial ketika berkunjung ke Pasar Umum Sandakan.

Ia susulan beberapa keping gambar yang tular sejak semalam menerusi media sosial menunjukkan orang ramai berkumpul di hadapan pasar berkenaan.

Presiden MPS, Wong Foo Tin, berkata gambar itu sebaliknya adalah gambar lama yang dipercayai dirakam sebelum tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Gambar yang dirakam menerusi CCTV

Katanya, selain terbabit dalam Pasukan Pemantau Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pihaknya juga sentiasa melakukan pemantauan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Gambar yang tular adalah gambar lama.

“Anggota MPS juga terbabit dalam pasukan pemantau. Kita juga pantau keadaan itu menerusi CCTV,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata berdasarkan pemantauan, orang ramai mematuhi peraturan dengan mengamalkan penjarakkan sosial, memakai pelitup muka serta menggunakan cecair pembasmi kuman ketika berkunjung ke pasar dan pusat beli-belah. – Berita Sabah

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

999