Covid-19: Sabah Catat Dua Kes Baharu, Satu Di Kota Marudu

KOTA KINABALU: Kota Marudu kini mempunyai rekod kes Covid-19 apabila mencatat satu daripada dua kes baharu yang dicatatkan di Sabah, hari ini.

Satu lagi kes baharu yang dicatatkan hari ini ialah di Tawau dan ini menjadikan jumlah keseluruhan kes yang pernah direkodkan di Sabah ketika ini sebanyak 340 kes.

Statistik terbaharu yang dimuat naik Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung dalam Facebook beliau sebentar tadi turut seorang lagi pesakit telah sembuh dan dibenarkan pulang, hari ini.

Ini menjadikan jumlah kes sembuh di negeri ini kini sebanyak 304 dan ini bermakna jumlah kes Covid-19 aktif yang masih menerima rawatan adalah sebanyak 31 kes, meningkat satu berbanding semalam.

Sementara itu, tiada kematian dicatatkan di Sabah, hari ini, dengan jumlah korban akibat Covid-19 di negeri ini kekal lima kes iaitu tiga kes berlaku di Kota Kinabalu manakala Tawau dan Tambunan masing-masing satu kes.

Sabah juga kini menjadi negeri ketujuh tertinggi mencatatkan Covid-19 di belakang Selangor yang mencatat sebanyak 1,693, Kuala Lumpur (1,676), Negeri Sembilan (791), Johor (669), Sarawak (545) dan Pahang (341) – Berita Sabah

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

5097