Sabah Benarkan Solat Berjemaah Di Masjid, Surau Terpilih

Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar

KOTA KINABALU: Majlis Fatwa Negeri Sabah memutuskan untuk membenarkan solat berjemaah dan Jumaat di masjid dan surau terpilih berkuat kuasa mulai Jumaat ini.

Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar dalam kenyataannya hari ini berkata, keputusan itu dilakukan dengan merujuk keputusan Muzakarah Khas Majlis Fatwa Negeri Sabah bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) pada 11 Mei lalu.

Beliau berkata, kebenaran hanya tertakluk kepada ahli jawatankuasa masjid dan surau sahaja.

Bagaimanapun, katanya, kebenaran solat berjemaah hanya diberikan kepada ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau sahaja dengan bilangan ahli jemaah tidak melebihi empat orang.

“Kebenaran ini termasuk melaksanakan solat sunat terawih, namun digalakkan melaksanakannya dengan lapan rakaat sahaja dan selebihnya dilaksanakan di rumah masing-masing.

“Selain itu, kebenaran solat jumaat juga hanya diberikan kepada AJK masjid sahaja dan bilangan ahli jemaahnya pula tidak kurang 3 orang dan tidak lebih daripada 12 orang jemaah, termasuk imam dan khatib,” katanya.

Dalam kenyataan itu juga, Bungsu berkata, keputusan kebenaran berkenaan tidak membabitkan solat sunat Aidilfitri.

Katanya, orang ramai dinasihatkan agar mengadakan solat sunat Hari Raya tahun ini di rumah atau tempat kediaman masing-masing.

“Takbir Hari Raya hanya dibenarkan diadakan pada sebelah malam sahaja di masjid dan surau membabitkan empat AJK masjid atau surau.

“AJK masjid juga dibenarkan menggunakan pembesar suara ketika bacaan khutbah dan takbir Hari Raya untuk manfaat orang Islam di sekitar masjid dan surau,” katanya.

Bungsu turut memperincikan warga emas dan golongan bergejala tidak dibenarkan untuk datang ke surau atau masjid di samping meminta jemaah untuk mengamalkan langkah keselamatan seperti yang disarankan kerajaan.

“Jawatankuasa masjid dan surau yang berusia lebih 70 tahun tidak dibenarkan hadir solat berjemaah serta mereka yang mempunyai gejala sakit seperti demam, dan batuk.

“Orang awam masih belum dibenarkan hadir ke masjid dan surau dan meminta agar mematuhi nasihat dan saranan kerajaan,” katanya.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *