Wanita Tempatan Ditahan Melacur Ketika PKP

KOTA KINABALU: Seorang wanita tempatan berusia 33 tahun ditahan polis selepas didapati aktif menjalankan aktiviti pelacuran di Plaza Warisan Square, di sini, Ahad lalu.

Wanita itu ditahan pada pukul 3.25 petang selepas dipercayai menjadikan pusat latihan urut yang ditutup ekoran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai pusat pelacuran.

HABIBI MAJINJI

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, tangkapan dilakukan hasil operasi Op Noda yang dijalankan anggota Cawangan Anti Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Katanya, semasa ditahan, polis turut menemui tiga kondom yang sudah digunakan, enam keping kondom baharu, wang tunai RM300 dan telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk mencari pelanggan.

“Hasil siasatan mendapati, suspek dipercayai mencari pelanggan menerusi aplikasi WeChat dan pembayaran pula dibuat terus kepada suspek selepas selesai sesi persundalan.

“Tempat kejadian adalah sebuah pusat latihan urut yang sudah beroperasi sejak Januari lalu,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Habibi berkata, suspek tersebut menjadikan pusat latihan urut sebagai tempat untuk aktiviti persundalan bagi mendapatkan pendapatan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, suspek juga dipercayai memulakan aktiviti tidak bermoral itu sejak dua bulan lalu bagi menanggung bayaran sewa pusat latihan urut berkenaan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

8393