COVID-19: 60 Pulih, 31 Kes Baharu, Tiada Kematian Dicatat Hari Ini

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. – Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Sebanyak 60 kes pulih daripada COVID-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 5,706 kes atau 81.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bilangan itu adalah hampir dua kali ganda berbanding 31 kes baharu yang dilaporkan.

Katanya, pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes kepada 7,009 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,189 kes.

“Ingin dimaklumkan daripada 31 kes baharu dilaporkan, 10 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, manakala 21 kes adalah penularan tempatan yang mana 10 individu bukan warganegara Malaysia.

“Sehingga kini, 11 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah berkenaan, tujuh memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang media harian COVID-19 di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dan angkanya kekal 114 kes atau 1.63 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – Berita Harian

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *