RM3.5 Juta Baiki Saluran Paip Pembentuangan, Jalan Mendap Di Inanam – Peter

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Infrastruktur Sabah memperuntukkan kira-kira RM3.5 juta bagi kerja-kerja pembaikan masalah saluran paip pembentungan termasuk mendapan tanah yang berlaku di Kilometer 7.5 Inanam, dekat sini.

Menterinya, Datuk Peter Anthony berkata kementeriannya telah mengarahkan jabatan bertanggungjawab untuk melakukan kerja-kerja membaiki kerosakan terbabit dalam kadar segera demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

Beliau berkata mendapan tanah itu berlaku susulan hujan lebat sejak tiga hari lepas, tambahan pula dengan keadaan saluran paip pembentungan di kawasan berkenaan yang didapati sudah terlalu uzur dan rosak.

“Peruntukan ini bagi penyelesaian sementara dan kerja-kerja pembaikan perlu dilakukan segera kerana mendapan tanah ini bukan sahaja menyebabkan kesesakan (lalu lintas) tetapi juga saluran pembentungan (di Inanam) tersumbat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan mendapan tanah itu di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Peter berkata, kementeriannya akan menggunakan kaedah terkini bagi menyelesaikan masalah pembentungan di sepanjang sembilan kilometer di daerah ini termasuk menggantikan saluran paip baharu di kawasan terjejas.

“Ini bagi penyelesaian jangka panjang kerana masalah pembentungan di kawasan terbabit sudah terlalu lama dan kebanyakan paip (di bawah turapan jalan raya) sudah reput.

“Justeru, sudah tiba masanya untuk ia diganti (baharu). Kita percaya, selepas kerja-kerja pembaikan dan mengganti saluran paip nanti, masalah pembentungan di kawasan tersebut akan dapat diatasi,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *