Covid-19: 37 Kes Baharu, 1 Kematian Dicatat Hari Ini

KUALA LUMPUR: Lekuk jangkitan baharu Covid-19 dalam negara kian mendatar dengan merekodkan 6,978 kes keseluruhan selepas hanya mencatatkan pertambahan 37 kes baharu, hari ini.

Pertambahan kes baharu Covid-19 negara juga terus mencatatkan angka dua digit dengan kali terakhir jangkitan tertinggi dilaporkan pada 3 Mei yang merekodkan 122 kes dan 105 kes sehari sebelum itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 37 kes baharu yang dilaporkan itu, 35 kes berkaitan penularan tempatan dengan 22 daripadanya membabitkan kes bukan warga Malaysia.

Beliau berkata, baki dua lagi kes membabitkan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Ingin dimaklumkan, ada 31 kes yang pulih hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya dan discaj dari wad sebanyak 5,646 kes, iaitu 80.9 peratus daripada keseluruhan kes.

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,218 kes dan mereka sudah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya ketika sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, setakat ini, hanya tinggal 11 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), daripada jumlah itu enam pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau turut memaklumkan, satu kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari ini.

Justeru, katanya, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia bertambah kepada sebanyak 114 kes, 1.63 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kes kematian ke-114 (kes ke-6942) membabitkan wanita warga Malaysia berusia 77 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit barah hati.

“Beliau dirawat di sebuah pusat perubatan di Pahang dan disahkan meninggal dunia pada 18 Mei (semalam), 3.09 pagi,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *