Covid-19: Tiada Kes Baharu Di Sabah Hari Ini, Tiga Lagi Sembuh

KOTA KINABALU: Tiada sebarang kes Covid-19 baharu Covid-19 direkodkan di Sabah pada hari ini dan kes positif di negeri ini masih kekal sebanyak 331 kes.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon berkata, sebanyak tiga kes telah pulih dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sebanyak 299 kes.

Beliau berkata, masih terdapat 27 kes aktif termasuk tujuh kes yang dirawat semula. Kes aktif ini merupakan kes yang masih dirawat di hospital-hospital berpakar seluruh Sabah.

Keningau yang melaporkan 18 kes merupakan daerah yang mempunyai kes aktif tertinggi buat masa ini dengan enam kes diikuti dengan lima kes aktif di Lahad Datu.

Empat kes aktif dilaporkan di Tawau, manakala Kota Kinabalu, Kinabatangan dan Semporna masing-masing mempunyai tiga kes aktif.

Terdapat satu kes aktif masing-masing dilaporkan di Tuaran, Penampang, dan Kunak.

Sehingga kini, jumlah kes kematian di Sabah adalah lima kes iaitu tiga kes di Kota Kinabalu dan satu kes masing-masing di Tawau dan Tambunan.

Di seluruh negara pula, sebanyak 22 kes baharu direkodkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di Malaysia sebanyak 6,894 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,210 kes.

Selain itu, sebanyak 59 kes pulih dan dibenarkan discaj hari ini, menjadikan jumlah kumulatif pesakit yang sembuh sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 dan discaj dari wad ialah 5,571 orang.

Manakala sebanyak 13 kes dilaporkan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU)  termasuk tujuh kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Kes kematian di Malaysia setakat ini kekal sebanyak 113 kes.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

918