TDM Perkemas Pemantauan Sempadan Sabah

Ahmad Hasbullah (kiri) ketika melakukan lawatan ke lokasi pengoperasian penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kawasan Tanggungjawab (KTJ) Divisyen Kelima Infrantri di Kota Kinabalu. – Foto NSTP/Yun Mikail.

KOTA KINABALU: Tentera Darat Malaysia (TDM) mengatur gerak Ops Kerangka sebagai usaha meningkatkan pemantauan di sempadan negeri ini bagi memastikan ia tidak dibolosi.

Panglimanya, Jen Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, berkata 80 hingga 150 anggota digerakkan menerusi operasi berkenaan yang antara lain turut memberi tumpuan kepada usaha menghalang pergerakan pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Kita khuatir ada pihak tidak bertanggungjawab atau PATI membolosi sempadan dan paling membimbangkan jika mereka menjadi ‘pembawa’ kepada wabak COVID-19,” katanya ketika ditemui media hari ini.

Terdahulu, beliau melakukan lawatan ke lokasi pengoperasian penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kawasan Tanggungjawab (KTJ) Divisyen Kelima Infrantri, dekat sini.

Yang turut hadir Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jen Datuk Zamrose Mohd Zain; Panglima Lima Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass.

Mengenai kawalan sempadan, Ahmad Hasbullah berkata, pasukan bertindak kebangsaan ditubuhkan bagi menetukan perairan serta daratan kita tidak mudah dibolosi.

“Kebanyakan lorong tikus yang ada sudah lama wujud. Bagaimanapun, kita sudah arahkan Panglima Medan Timur mengkaji serta memperketatkan kawalan di semua kawasan dikenal pasti.

“Kita akui kawasan di bawah pemantauan terlalu luas, oleh itu kerjasama semua pihak amat diperlukan khususnya daripada orang awam untuk menjadi ‘mata serta telinga’ dalam menyalurkan maklumat,” katanya.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1253