Suami Isteri, Ipar Bakal Ke Tali Gantung

Bekalan ganja yang diperoleh dari Kuala Lumpur menggunakan khidmat pos laju. Foto Juwan Riduan

LABUAN: Suami isteri dan seorang ipar berdepan hukuman gantung sampai mati selepas ditahan bersama rampasan ganja seberat 1.2 kilogram dalam serbuan di sebuah rumah flat di Jalan Bebuloh, Labuan, semalam.

Dalam serbuan jam 12.30 tengah hari itu, polis menemukan ganja yang disembunyikan di dalam bilik tidur suami isteri berkenaan.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, pemeriksaan di bilik tidur pasangan terbabit menemukan satu ketulan mampat daun kering yang dibalut dengan plastik lutsinar disyaki ganja.

Katanya, pemeriksaan kemudiannya dilakukan di bilik tidur kedua yang dihuni ipar kepada suspek utama dan menahan wanita terbabit untuk membantu siasatan lanjut.

“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek lelaki didapati positif ganja manakala kedua-dua suspek wanita pula bebas dari sebarang pengaruh dadah.

“Jumlah dadah yang berjaya dirampas dianggarkan bernilai RM7,000 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Muhamad Farid berkata, modus operandi suspek mendapatkan bekalan dengan menggunakan perkhidmatan pos laju dari Kuala Lumpur yang terus dihantar ke rumah suspek.

“Ketiga-tiga suspek warga tempatan berusia 20-an akan dirujuk ke mahkamah hari ini bagi mendapatkan perintah tahanan reman selama 14 hari bagi membantu siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman mati mandatori,” katanya.- Harian Metro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *