Semua Perkhidmatan Awam Negeri Sabah Dibenar Beroperasi Seperti Biasa

KOTA KINABALU, 14 Mei: Semua perkhidmatan awam negeri Sabah dibenar beroperasi seperti biasa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa sehingga 9 Jun depan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong berkata keputusan itu dibuat untuk memastikan perkhidmatan kerajaan negeri berada di tahap yang cekap dan berkesan.

“Namun semua perkhidmatan  awam kerajaan negeri perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah dari semasa ke semasa.

“Kehadiran kakitangan di organisasi masing-masing hendaklah sekurang-kurangnya 60 peratus di pejabat dan 40 peratus bekerja dari rumah. Penjadualan kerja hendaklah mengambil kira kebajikan, keselamatan dan penggiliran kakitangan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau juga berkata penggunaan aplikasi dalam talian adalah digalakkan dan diperluaskan untuk meminimumkan kehadiran pelanggan di kaunter dan pejabat kerajaan.

“Ketua agensi diberi kuasa untuk menentukan penggiliran kakitangan yang perlu hadir ke pejabat dan yang bekerja dari rumah. Walau bagaimanapun, ketua jabatan boleh mengeluarkan arahan bekerja kepada mana-mana kakitangan di bawah jagaan masing-masing yang bersesuaian dengan keperluan perkhidmatan kerajaan dari semasa ke semasa.

“Semua ketua agensi diingatkan untuk memastikan bahawa semua SOP keselamatan dan kesihatan dipatuhi sepenuhnya oleh kakitangan masing-masing bagi memastikan tidak berlaku penularan COVID-19 di tempat kerja,” katanya.

BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *