Lelaki Tempatan Miliki Dadah Bernilai RM52,500 Ditahan Di Sandakan

SANDAKAN: Kononnya menggunakan pacuan empat roda untuk mengambil kelapa di daerah lain, namun sebenarnya ia cuma modus operandi seorang lelaki mengaburi mata polis untuk mendapatkan bekalan dadah, sebelum diedarkan di daerah ini.

Lelaki itu bagaimanapun berjaya ditahan sepasukan pegawai dan anggota daripada Sekretariat Nukleus (Sabah) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan menerusi sekatan jalan raya di Batu 30, Ulu Dusun, dekat sini, kira-kira pukul 8 malam, Selasa lalu.

Turut dirampas adalah dadah jenis Methamphetamine seberat 1,008.38 gram yang dianggarkan berjumlah RM52,500.

Dadah terbabit yang dibungkus dengan plastik ditemui dalam kenderaan lelaki itu.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata siasatan awal mendapati suspek lelaki tempatan itu berusia lingkungan 40-an dan bekerja sebagai pemandu lori.

Katanya, ujian saringan awal air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

“Hasil siasatan mendapati lelaki terbabit mendapatkan bekalan dadah dari daerah jiran. Risikan sedang dijalankan untuk mengesan pembekal dadah.

“Rampasan ini adalah ketiga terbesar untuk daerah Sandakan pada tahun ini,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Mohd Azhar berkata, suspek kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga 19 Mei. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *