Pelajar IPT Balik Sabah Kini Wajib Masuk Pusat Kuarantin

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mewajibkan semua individu termasuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang balik ke Sabah menjalani kuarantin di pusat kuarantin yang disediakan berkuat kuasa semalam.

Sebelum ini, Kerajaan Sabah telah memberi kebenaran kepada seramai 11,000 pelajar tanpa gejala untuk menjalankan kuarantin di rumah sebaik sahaja pulang.

Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Christina Rundi berkata, arahan kuarantin tersebut mula berkuat kuasa serta-merta susulan wujudnya kluster IPT di negeri ini.

Setakat ini, dua pelajar dari Semenanjung telah didapati positif dan Sabah juga telah mengenal pasti kluster baharu yang membabitkan tiga pelajar di universiti tempatan.

Katanya, semasa berada di pusat kuarantin,  penilaian kesihatan dan risiko akan dibuat oleh pegawai kesihatan sekiranya keputusan pengesahan didapati negatif.

“Sekiranya didapati sihat dan risiko jangkitan adalah rendah, pegawai tersebut boleh memberi kebenaran untuk melengkapkan baki tempoh kuarantin di rumah.

“Walau bagaimanapun, kebenaran untuk menjalani kuarantin di rumah tertakluk kepada kesesuaian infrastruktur rumah dengan mengambil kira faktor kesesakan dan risiko jangkitan kepada penghuni lain terutama yang berisiko,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Christina berkata, pejabat kesihatan berkenaan akan mengeluarkan borang pelepasan kuarantin setelah tempoh kuarantin tamat.

Selain itu, beliau turut mengingatkan semua individu yang diperintah menjalani kuarantin di rumah agar terus menjalankannya dengan ketat dan penuh tanggungjawab.

Tambahnya, bagi sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi CPRC JKNS di talian 088-219455 atau emel ke [email protected] BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3895