PKPB: Tidak Boleh Panggil Tukang Gunting Ke Rumah

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan gunting rambut masih tidak dibenarkan kerana tersenarai dalam perkara yang dilarang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Larangan itu termasuk perkhidmatan gunting di rumah pelanggan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata prosedur operasi standard (SOP) mengenai gunting rambut masih tidak membenarkan ia beroperasi.

“Mengenai ada orang kenamaan (VIP) memanggil tukang gunting rambut ke rumah, ini berita baharu. Saya pun tidak tahu kerana sememang perkhidmatan itu tidak dibenarkan.

“Setakat ini, gunting rambut sama ada di kedai atau perkhidmatan di rumah ia termasuk dalam senarai terlarang maka tidak dibenarkan perkhidmatan itu di rumah, pejabat atau pun pelanggan ke kedai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat khas harian menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Putrajaya , hari ini.- Berita Harian

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1525