Belajar Tinggi Tapi Kurang Cerdik

Antara penuntut Institut pengajian tinggi yang hadir menjalani ujian saringan kali kedua Covid-19 di Klinik Kesihatan Tawau, hari ini. Foto Abdul Rahemang Taiming

TAWAU: Tiga penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) berdepan tindakan undang-undang kerana ingkar dan melanggar perintah kuarantin di rumah.

Ketiga-tiga penuntut terbabit sebelum ini diperintahkan menjalani kuarantin 14 hari di rumah masing-masing sebaik tiba dari Kuala Lumpur pada 1 dan 4 Mei lalu.

Pegawai Kesihatan Kawasan II Dr Suzalinna Sulaiman berkata, hasil pemantauan mendapati, ketiga-tiganya ingkar perintah kuarantin dan keluar daripada kawasan rumah tanpa alasan munasabah.

“Kami sudah membuka kertas siasatan dan hanya menunggu arahan selanjutnya untuk tindakan pendakwaan,” katanya ditemui di pejabat Kesihatan Tawau hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, beliau menggesa semua penumpang yang menaiki penerbangan Air Asia AK5740 dari Kuala Lumpur ke Tawau pada 1 dan 4 Mei lalu tampil untuk pengambilan sampel kedua ujian saringan Covid-19.

Katanya, 402 penumpang termasuk 72 penuntut IPT yang menaiki kedua-dua penerbangan itu sudah menjalani saringan pertama sebaik tiba di Lapangan Terbang Tawau.

Bagaimanapun, katanya, mereka diminta hadir untuk pengambilan sampel kali kedua bermula hari ini di Klinik Kesihatan Tawau di Jalan Chong Thien Vun, dekat Kubota antara jam 8.30 pagi sehingga jam 3.30 petang.

Terdahulu, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Christina Rundi berkata, seorang penuntut yang berasal dari daerah ini antara tiga individu yang ingkar dan melanggar perintah kuarantin di rumah.

“Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) tidak ragu-ragu untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana individu yang ingkar perintah ini,” katanya.- Harian Metro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

4226