Covid-19: Ingkar Jalani Kuarantin Punca Kes Baharu Di Sabah Naik Mendadak

KOTA KINABALU: Ingkar menjalani perintah kuarantin di rumah antara punca berlakunya peningkatan mendadak kes baharu positif Covid-19 di Sabah.

Kesemua 10 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan semalam dikategorikan sebagai kes import yang dikesan melalui pengambilan sampel di pintu masuk antarabangsa.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, tujuh sampel positif itu diambil di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Tawau manakala, tiga sampel diambil dari Lapangan Terbang Sandakan.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, dua daripadanya melibatkan pelajar, seorang kanak-kanak dan selebihnya rakyat Sabah yang bekerja Semenanjung Malaysia dan pulang ke Sabah baru-baru ini.

Katanya, kesemua sampel positif itu diambil di lapangan terbang yang merupakan destinasi terakhir mereka sebelum kesemuanya dibenarkan pulang menjalani perintah kuarantin di rumah masing-masing.

“Siasatan awal mendapati kesemua kes telah diberi Borang Annex 14 untuk menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari namun, sebahagian besar telah ingkar perintah ini. Keadaan ini menyebabkan bilangan kontak terdekat yang perlu disiasat turut bertambah.

“Siasatan ke atas kontak rapat kesemua kes ini masih giat dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Christina berkata, peningkatan kes secara mendadak telah mengundang pelbagai komen di media sosial.

Atas sebab itu, pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan butiran peribadi kes-kes ini kerana ia merupakan budaya yang tidak sihat serta menimbulkan stigma terhadap pesakit Covid-19.

“Pihak JKNS ingin mengajak rakyat Sabah untuk belajar dan mengambil ikhtibar daripada kejadian peningkatan kes mendadak ini. Penting untuk kita bersama-sama melaksanakan tanggungjawab mengawal penularan jangkitan wabak Covid-19 di negeri ini.

“Dalam menangani wabak ini, mungkin terdapat pendekatan yang tidak popular kerana kelihatan ‘menyusahkan’ pelbagai pihak namun, strategi itu perlu dilihat dari sudut positif demi kebaikan semua pihak,” ujarnya.

Christina sekali lagi mengingatkan orang ramai agar mengisi Borang Pengisytiharan Kesihatan Kemasukan ke Sabah dengan lengkap dan jujur.

Katanya, sekiranya maklumat yang diberikan didapati salah dan tidak lengkap, tindakan boleh diambil di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Beliau juga menyarankan semua pihak agar mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh JKNS seperti perintah menjalani kuarantin di rumah dengan ketat.

“Mereka yang didapati ingkar akan diperintahkan untuk menjalani kuarantin di pusat-pusat kuarantin yang diwartakan,” jelasnya.

Semalam, 10 kes baharu dilaporkan di Sabah masing-masing empat kes di Lahad Datu, tiga di Semporna, dua di Keningau dan satu kes di Tawau.

Dengan itu, bilangan keseluruhan kes Covid-19 di negeri ini meningkat kepada 327 kes, termasuk 290 kes yang telah pulih.

Kes kematian akibat Covid-19 juga kekal dengan empat kes, iaitu dua kes di Kota Kinabalu dan satu kes kematian masing-masing di Tawau dan Tambunan. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

15369