Sabah Benarkan Sektor Penerbangan & Pelancongan Domestik Beroperasi

KOTA KINABALU: Sektor pelancongan Sabah yang terjejas teruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini mula dibuka kembali bagi pasaran domestik.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, beberapa sektor lain turut dibuka iaitu aktiviti kebudayaan, perkhidmatan ikhtisas dan profesional, kedai menjual kenderaan bermotor dan jentera berat serta pengangkutan udara.

Katanya, pembukaan sektor-sektor ekonomi itu selaras dengan pelaksanaan PKP tahap lima di negeri ini.

Maklumat terperinci sektor-sektor yang dibenarkan beroperasi bermula hari ini adalah seperti berikut:-

A. SEKTOR PELANCONGAN, KEBUDAYAAN DAN ALAM SEKITAR

Aktiviti yang dibenarkan di bawah Sektor Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar serta rangkaiannya adalah seperti berikut:

1) Pelancongan Domestik (Dalam Negeri Sabah sahaja)

i Aktiviti yang melibatkan penginapan, adventure dan recreation, tempat menarik, food and beverage, ticketing services, pengangkutan dan lain-lain yang berkaitan.

ii Semua operasi perhotelan adalah dibenarkan kecuali fasiliti hotel seperti surau, gimnasium, spa, sauna, lounge, kolam renang, bilik mesyuarat, dewan seminar, bilik latihan dan buffet.

2) Kebudayaan

Aktiviti seni budaya meliputi kegiatan seni kraf, visual, pakaian tradisi, makanan tradisi, muzik dan tari (yang tidak melebihi 10 orang) serta penyelidikan dan pendidikan budaya dan lain-lain.

3) Alam Sekitar, Hidupan Liar dan Taman-Taman Negeri

i Aktiviti yang meliputi kunjungan riadah, kajian, penyelidikan dan pemantauan Alam Sekitar termasuk perkhidmatan yang ditawarkan di Taman-Taman Sabah dan santuari seperti Tabin Wildlife Resort, Danum Valley, Maliau Basin, Imbak Canyon, Pusat Pemulihan Orangutan Sepilok, Taman Hidupan Liar Lok Kawi, Santuari Hidupan Liar Hilir Kinabatangan, KK Wet Land dan termasuk aktiviti-aktiviti yang diuruskan oleh pihak swasta.

ii Aktiviti yang meliputi Penuaian Sarang Burung, pengeluaran permit dan lesen hidupan liar dan lain-lain aktiviti yang dibenarkan. Pelaksanaan semua aktiviti dalam sektor ini dan rangkaiannya hendaklah mematuhi Standard Operating Prosedure (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak yang berkaitan.

B. SEKTOR SUKAN DAN REKREASI

Aktiviti yang dibenarkan di bawah sektor ini dan rangkaiannya adalah seperti berikut:

1). Aktiviti latihan sukan individu, sukan elit dan sukan berprestasi tinggi seperti olahraga, golf, tenis, E-sport, sukan bermotor (cubprix), boling padang, memanah, menembak, angkat berat, berbasikal, pelayaran, pentanque, squash, ping pong, silambam, wushu, karate (kata), taekwondo (kata) dan bina badan.

2). Aktiviti sukan massa dan rekreasi yang melibatkan orang awam yang tidak lebih dari 10 orang dalam satu kumpulan pada satu-satu masa seperti golf, berbasikal, sukan bermotor, jogging, senamrobik dan lainlain aktiviti senaman jasmani.

3). Rangkaian kemudahan sukan dan rekreasi (outdoor) seperti golf driving range, jogging track, boling padang, lapang sasar memanah, lapang sasar menembak dan taman awam sama ada di bawah kawalan Kerajaan atau swasta atau milik individu. Pelaksanaan semua aktiviti dalam sektor sukan dan rangkaiannya hendaklah mematuhi SOP KKM dan pihak berkuasa berkaitan.

Sukan-sukan yang tidak dibenarkan ialah seperti sukan yang melibatkan perhimpunan penyokong, acara berkumpulan diluar yang melebihi 10 orang, indoor sport, acara di kolam renang dan jenis-jenis sukan bersentuhan (contact sport).

C. SEKTOR PERKHIDMATAN IKHTISAS DAN PROFESSIONAL

Aktiviti yang dibenarkan di bawah sektor perkhidmatan ikhtisas dan professional serta rangkaiannya adalah perkhidmatan oleh Jurutera, Peguam, Arkitek, Akauntan, Perunding Kewangan, Jurunilai, Juruukur Bahan, Juruukur Tanah, Ahli Farmasi, Kaunselor, Ahli Geologi, Dietrician, Dentist, Juru Fisioterapi, Optometris, Odiologist, Veterinar, Doktor Perubatan dan Doktor Pakar dan lain-lain perkhidmatan ikhtisas dan profesional yang berdaftar dengan Badan Professional masing-masing. Semua perkhidmatan ikhtisas dan professional hendaklah mematuhi Standard Operating Prosedure (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia dan pihak berkuasa yang berwibawa (competent authority)

D. PENGANGKUTAN UDARA

Kerajaan Negeri juga memutuskan supaya bilangan penerbangan domestik ditambah dan menyeru kepada syarikat-syarikat penerbangan supaya menambah bilangan penerbangan daripada Kuala Lumpur / Johor Bahru / Pulau Pinang / Kota Bahru / Alor Star / Kuching / Miri / Bintulu ke Negeri Sabah dan sebaliknya.

Begitu juga dengan penerbangan-penerbangan dalam Negeri Sabah. Aktiviti pengangkutan udara adalah tertakluk kepada SOP KKM dan pihak berkuasa berkaitan.

E. KEDAI MENJUAL KENDERAAN BERMOTOR, JENTERA BERAT DAN BASIKAL

Kerajaan Negeri juga membenarkan kedai-kedai dan premis menjual kenderaan bermotor, jentera berat dan basikal beroperasi mulai 10 Mei dan hendaklah mematuhi SOP KKM dan pihak berkuasa berkaitan.

F. KEBENARAN MERENTAS DAERAH

Kerajaan Negeri ingin memaklumkan bahawa pergerakan merentas daerah di negeri Sabah adalah dibenarkan sejak 4 Mei selaras dengan Arahan Perintah Kawalan Pergerakan Tahap 5 dan hendaklah mematuhi SOP KKM dan pihak berkuasa berkaitan.

Mohd Shafie berkata, kerajaan sekali lagi mengingatkan rakyat di negeri ini untuk terus mengamalkan penjarakan sosial, memakai penutup hidung dan mulut serta sentiasa menggunakan sanitizer dalam semua urusan seharian untuk keselamatan diri, keluarga dan komuniti.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3775