‘Terima Kasih Bantu Bayar Kos Rawatan Bapa Di Korea’

Keadaan Mohd Nuruddin Abdullah @ Jalin Tompipi (kanan) selepas menerima rawatan di Hospital Mokpo Honkook, Korea Selatan akibat serangan angin ahmar. Foto Nor Shahzrina Mohd Nuruddin

TUARAN: ‘Alhamdulillah…dengan bantuan orang ramai, dana untuk melunaskan kos rawatan ayah mencukupi.

“Kami sedang menunggu kebenaran kerajaan untuk membenarkan ayah pulang ke sini,” kata Nor Shahzrina Mohd Nuruddin, 25.

Bapanya, Mohd Nuruddin Abdullah @ Jalin Tompipi, 54, terlantar di Hospital Mokpo Honkook, Korea Selatan selepas diserang angin ahmar pada 7 April lalu menyebabkan kehilangan fungsi saraf di separuh anggota badan.

Keadaan itu turut menyebabkan Mohd Nuruddin perlu menjalani pembedahan bagi mengeluarkan darah beku di kepala berjumlah kira-kira RM36,000.

Jumlah keseluruhan kos perubatan Mohd Nuruddin ialah RM62,176.35.

Bagaimanapun, hasil bantuan Kedutaan Malaysia di Korea Selatan, kos rawatan itu berjaya dikurangkan kepada RM48,024.68.

Kisah berkaitan Mohd Nuruddin dilaporkan Harian Metro pada 16 April lalu dan hasilnya, ramai yang menghulurkan bantuan.

Nor Shahzrina berkata, dia sekeluarga bersyukur dan berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang banyak menderma selain mendoakan kesihatan bapanya.

“Berkat bantuan selain doa orang ramai, ayah kini sudah boleh bercakap namun tangan kiri dan kedua-dua kakinya masih lumpuh.

“Rakan ayah di sana memaklumkan, ayah ada kalanya meracau dan masih perlu berulang-alik ke hospital dari rumah rakan di daerah sama,” katanya dihubungi hari ini.

Menurut Nor Shahzrina, dia sudah menempah tiket penerbangan pada 1 Jun ini dan sekiranya tiada halangan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), dia akan membawa bapanya pulang ke Kampung Bulieng, Tuaran.

“Baki sumbangan orang ramai saya guna untuk membeli kerusi roda, ubat-ubatan, keperluan ayah termasuk rawatan susulan serta kompaun dikenakan kerajaan Korea Selatan terhadap ayah yang menggunakan visa perjalanan melebihi tiga bulan.

“Terima kasih kepada Harian Metro dan semua yang membantu, mendoakan serta menghulurkan sumbangan,” katanya. – HMetro

901