Peniaga Di Penampang Diwajibkan Rekod Kehadiran Pengunjung

PENAMPANG: Para peniaga yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu merekodkan kehadiran pengunjung di premis masing-masing.

Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Penampang,Tang Yang Ming berkata, langkah itu dilaksanakan  untuk memudahkan pihaknya menjejaki pergerakan pengunjung  sekiranya terdapat kes jangkitan positif Covid-19 di kawasan premis  tersebut.

“Usaha ini adalah bagi memastikan orang awam dapat dijejaki atau dihubungi jika terdapat kes jangkitan positif Covid-19 dilaporkan di premis yang dibenarkan beroperasi di Penampang.

“Dengan hal yang demikian, semua peniaga diarah untuk menyediakan buku rekod catatan serta merta bermula esok,”katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, mana-mana peniaga yang tidak mematuhi arahan tersebut akan diambil tindakan mengikut perundangan yang terdapat dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Ordinan Kerajaan Tempatan 1961 dan undang-undang kecil Majlis yang sedang berkuatkuasa.

Jelasnya, pihak Majlis Daerah Penampang juga akan membatalkan kelulusan lesen sekiranya  peniaga gagal untuk mematuhi arahan itu.- BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *