Sebanyak 2,393 Premis Dibawah JHEAINS Dinyah Kuman Seluruh Sabah

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Sebanyak 2,393 premis dibawah pengurusan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) termasuk masjid dan sekolah telah dinyah kuman sejak penularan wabak Covid-19 berlaku di Sabah.

Proses nyah kuman itu dilakukan bagi memastikan rantaian wabak Covid-19 di negeri ini dapat diputuskan.

Pengarah Jheains, Datuk Saifulzaman Sangul berkata, aktiviti nyah kuman itu melibatkan pembersihan masjid (1,037), surau (1,028), markas tabligh (4), madrasah (72), sekolah menengah agama negeri (6), sekolah agama negeri (103), tadika (11), institut tahfiz al-Quran negeri Sabah (1) dan sekolah agama rakyat (131).

Datuk Saifulzaman Sangul

Beliau bekata, kerja-kerja nyah kuman di semua premis di bawah pengurusan dan pemantauan Jheains itu dilakukan dalam tempoh sebulan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

Katanya, proses penyah kuman ini akan dilakukan dari masa ke semasa mengikut keperluan.

Beliau berkata demikian ketika sidang media, di Pejabat Jheains, di sini hari ini.

Mengulas mengenai operasi tangkapan sepanjang Ramadan bagi individu yang tidak berpuasa, setakat ini tiada tangkapan dilakukan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, pada tahun lalu, sebanyak 33 kes tangkapan individu tidak puasa dilakukan di Sabah.

Menurutnya, tahun ini, hanya operasi pemantauan aktiviti di masjid dan surau di setiap daerah sahaja yang dilakukan sepanjang PKP bagi memastikan tiada aktiviti solat berjemaah dan tawarih dilakukan di masjid dan juga surau.

“Pemantauan yang dilaksanakan ini diketuai oleh pegawai tadbir agama daerah dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

“Di seluruh Sabah terdapat 31 buah pejabat Jheains di daerah dandan daerah kecil yang melaksana operasi pemantauan aktiviti solat berjemaah di masjid dan surau,” ujarnya.

Katanya, beliau amat menghargai kerjasama penduduk di negeri ini yang tidak melanggar arahan PKP dengan tidak melakukan solat secara berjemaah. – BorneoToday

661