Mayat Warga India Ditemui Dalam Bilik Sewa Di Manggatal

Polis bersama kakitangan KKM lengkap berpakaian PPE mengangkat mayat warga India yang ditemui terbaring di bilik sewanya di Mangatal, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Mayat lelaki warga India berusia 66 tahun ditemui dalam bilik sewanya di tingkat dua sebuah premis di pekan Manggatal di Kota Kinabalu, pagi tadi selepas rakan serumahnya terhidu bau busuk.

Mayat mangsa ditemui jam 9 pagi selepas rakan serumahnya menghubungi polis.

Difahamkan, mangsa bekerja di sebuah restoran berhampiran premis tempatnya menyewa.

Polis bersama kakitangan KKM lengkap berpakaian PPE mengangkat mayat warga India yang ditemui terbaring di bilik sewanya di Mangatal, Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, anggota forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bergegas ke lokasi bagi siasatan lanjut dan langkah keselamatan pencegahan Covid-19.

“Siasatan awal mendapati mangsa tinggal di bilik itu seorang diri sejak enam bulan lalu.

“Mangsa dipercayai sudah mati lebih dua hari,” katanya dihubungi.

Menurut Habibi, berdasarkan keterangan saksi, mangsa ada menceritakan dia menghidap masalah sakit jantung serta tekanan darah tinggi.

“Siasatan di lokasi tidak menemui sebarang unsur jenayah. Mayatnya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk pemeriksaan lanjut Covid-19 sebelum bedah siasat,” katanya.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.- HMetro

7360