Covid-19: Sabah Catat Satu Kes Baharu Hari Ini, Empat Pulih

KOTA KINABALU: Selepas beberapa hari tidak mencatat kes baharu, Sabah hari ini bertambah satu lagi kes Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang pernah direkodkan setakat ini, sebanyak 317.

Bagaimanapun, jumlah kes aktif wabak itu menurun tiga kes lagi selepas empat lagi pesakit telah pulih dan dibenarkan pulang, hari ini.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh di Sabah setakat ini sebanyak 280 manakala jumlah kes aktif di Sabah kini sebanyak 33 kes berbanding 36, semalam.

Statistik terbaharu yang dimuat naik Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung menunjukkan pertambahan kes baharu itu berlaku di Tawau.

Dalam perkembangan sama tiada kematian dicatatkan di negeri ini, hari ini, dengan jumlah korban akibat jangkitan wabak itu kekal empat orang iaitu dua di Kota Kinabalu dan masing-masing satu di Tawau serta Tambunan.

Sabah juga kekal negeri keenam tertinggi mencatatkan Covid-19 di belakang Selangor yang mencatat sebanyak 1,580, Kuala Lumpur (1,398), Johor (667), Negeri Sembilan (600), dan Sarawak (537). – Berita Sabah

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2870