Hanya Tinggal Dua SJR Di Sandakan, Empat Ditamatkan

SANDAKAN: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan kini hanya mengekalkan dua sekatan jalan raya (SJR), empat lagi ditamatkan bermula semalam.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, pihaknya hanya mengekalkan dua SJR di Batu 16 dan SJR Batu 30 Ulu Dusun.

“Sekatan jalan raya di Batu 30 Ulu Dusun merupakan lokasi sekatan jalan raya yang baharu dibuka pada Selasa (kelmarin),” katanya.

Beliau berkata empat sekatan jalan raya yang ditamatkan iaitu Jalan Leila, Jalan Lintas Utara (Narsalim), Batu 4 berhadapan Taman Pertama dan Batu 5 Jalan Utara.

Dalam pada itu, Mohd Azhar berkata tiga jalan yang ditutup sebelum ini iaitu Jalan Cecily-Indah Jaya, Jalan Cecily Jalan Lintas Indah Jaya dan Bulatan Jalan Lintas Sibuga-Jalan Utara akan dibuka.

Beliau berkata walaupun tiga jalan yang ditutup sebelum ini akan dibuka semula dan empat sekatan jalan raya ditamatkan di daerah Sandakan, orang ramai diingatkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih dilanjutkan sehingga 12 Mei ini.

Mohd Azhar mengingatkan orang ramai supaya tidak menjadikan ketiadaan sekatan jalan raya dan jalan ditutup dibuka, untuk keluar dengan sewenang-wenangnya tanpa tujuan.

“Sebaliknya keluar jika perlu sahaja dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dengan memakai pelitup muka, sentiasa mencuci tangan atau menggunakan cecair pembasmi kuman dan sentiasa mengamalkan penjarakan sosial,” katanya.  

Beliau berkata pihaknya akan menumpukan kepada penugasan pemantauan dan ‘snap check’ bagi memastikan orang ramai mematuhi arahan dan mengamalkan konsep penjarakan sosial. – Utusan Borneo

18456