ESSCOM Senarai 21 Penjenayah Dikehendaki

LAHAD DATU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) mengeluarkan senarai terkini 21 suspek warga asing yang dikehendaki kerana terbabit jenayah rentas sempadan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Senarai yang dikeluarkan itu termasuk tiga suspek baharu yang dikehendaki iaitu Ketua Jemaah ‘Group Zamboanga De Nortr’, Ustaz Mamay Aburi, Ketua Ajang-Ajang Group, Basaron Arok dan ahli kumpulan ‘Apo Mike’ Alvin Yusof@Arab Puti.

Mamay Aburi adalah antara yang turut terbabit dalam kejadian berbalas tembakan dengan anggota Kastam di Semporna, tahun lalu.

Manakala Arab Puti adalah salah seorang yang terbabit kes penculikan lima nelayan warga Indonesia di Perairan Tambisan, Lahad Datu, Januari lalu.

Sementara itu, dalam senarai berkenaan turut disertakan nama pemimpin Abu Sayyaf iaitu Salip Mura dan Hatip Hajan Sawadjaan.

Selain itu, individu disyaki bertanggungjawab memenggal kepala warga Malaysia, Bernard Then Ted Fen, yang dikenali sebagai Idang Susukan turut berada dalam senarai dikehendaki.

Untuk rekod, Bernard Then adalah mangsa yang diculik di sebuah restoran makanan laut di Sandakan pada Mei 2015

Antara nama lain yang tersenarai ialah Apo Mike @ Majan Sahidjuan; Al Munjir Yadah; Raden Abuh; Marajam @ Manajan Asiri; Sangbas @ Anjang; Hamsan Pakkan @ Black Cobra; Sabri Madrasul @ Salip Jul; Ben Tatoh Quirino; Titing Alihasan @ Iyot Panday; Jul @ Jun Hasan; Jul Aksan Abdurajan @ Halimaw; Tampi @ Bunju; Long Sahirin; Halip Ibrahim serta Haibin Mubin @ Apo Kuhambo.

Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali berkata, semua 21 suspek dipercayai terbabit dalam kegiatan kumpulan penculikan untuk wang tebusan (KFR) di pantai timur Sabah.

Katanya, semua individu terbabit dikenal pasti aktif merancang jenayah sepanjang tahun lalu dan dipercayai masih aktif sehingga kini.

“Semua individu ini dikehendaki bagi membantu siasatan kes di pantai timur Sabah.

“Namun usaha mengesan aktiviti penculikan di perairan Esszone ini sukar dan boleh disifatkan sebagai permainan tikus dengan kucing. Mereka (suspek) tunggu peluang sambil bersembunyi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hazani berkata, senarai terkini itu dikeluarkan selepas pihaknya menjalankan siasatan termasuk mendapat pengesahan pasukan keselamatan Filipina.

Katanya, orang ramai yang mempunyai menyalurkan maklumat berkaitan dengan individu disenaraikan itu, boleh menghubungi Bilik Gerakan Esscom di talian 089- 863181 atau WhatsApp di nombor 013-8803585 atau 019-2305909.

“ESSCOM akan bekerjasama dengan tentera keselamatan Filipina untuk membantu mengesan semua suspek terbabit,” katanya.- BH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *