Sekatan Jalan Raya Di Batition Akan Ditutup

Pihak polis membuat pemeriksaan rapi terhadap pengguna jalan raya yang melalui sekatan jalan raya di Kampung Batition, Beluran.

SANDAKAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan tutup sekatan jalan raya di kawasan Botition, Beluran sebagai langkah mengatur gerak petugas keselamatan membuat pemantauan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa ke-4.

Ketua Polis Daerah Beluran Superintendan Kasim Muda berkata, pihaknya kemungkinan besar akan tutup satu lokasi sekatan jalan raya di kawasan Botition dan polis akan buat pemeriksaan ‘Snapchek’.

“Pihaknya akan lebih memberi tumpuan kepada pasukan pemantau bagi kawasan Paitan, Telupid dan Beluran. Kita kurangkan satu sekatan jalan raya tetapi kita tambah pasukan pemantau,” katanya.

Pihak polis membuat pemeriksaan rapi terhadap pengguna jalan raya yang melalui sekatan jalan raya di simpang Beluran.

Beliau berkata bagi Parlimen Beluran terdapat empat sekatan jalan raya yang beroperasi 24 jam di kawasan simpang Beluran, Telupid, Botition dan di Paitan.

“Jumlah kenderaan yang diperiksa secara purata harian kenderaan jalan utama ini (Sandakan-Telupid-Ranau) lebih kurang 60 hingga 70 buah kenderaan, bagi kawasan Paitan dan Botition hanya lebih kurang 20 atau 30 buah sahaja,” katanya.

Kasim berkata tiada sebarang kesalahan yang dilakukan oleh pengguna kenderaan ketika melalui sekatan jalan raya.

“Kecuali ada satu notis bagi kenderaan membawa barang-barang yang tidak dibenarkan,” katanya kepada media ketika membuat tinjauan di sekatan jalan raya simpang Beluran.

Beliau turut berkesempatan bersama pegawai dan anggota keselamatan di sekatan jalan raya simpang Beluran yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin dan Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan Superintendan Abdul Fuad Abdul Malek.

Dalam pada itu, Kasim berkata terdapat 10 tangkapan telah dibuat sepanjang PKP dilaksanakan dimana empat individu ditahan di Telupid dan enam individu lagi di Beluran.

Ditanya adakah kedai-kedai di Parlimen Beluran ini sudah dibuka, beliau berkata setakat ini masih lagi mengikut arahan-arahan semasa daripada Kerajaan Negeri Sabah dan mengikut syarat-syarat yang dikeluarkan Majlis Daerah Beluran.

“Sebagai contoh, kedai-kedai perkakasan dibuka pada waktu yang ditetapkan saja iaitu Selasa, Khamis dan kedai-kedai menjual makanan burung ataupun makanan ayam dibuka tiga kali seminggu pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat.

“Untuk kedai-kedai dan restoran masih lagi buat secara bawa balik (tapau) atau pesan dan bungkus, kita belum membenarkan menghidangkan makanan. Pihak kita masih lagi menunggu arahan selanjutnya daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah,” katanya.

Kasim menasihatkan kepada orang ramai agar mematuhi arahan-arahan yang diberikan oleh MKN dan kerajaan untuk memastikan penjarakan sosial, pergerakan-pergerakan dilaporkan dahulu kepada pihak polis untuk mendapat kebenaran terutama antara daerah ke daerah.

“Saya nasihatkan kepada mereka yang mana melalui sekatan-sekatan jalan raya ini yang diberi nasihat oleh pihak polis, sila patuhi nasihat-nasihat kita supaya tidak diambil tindakan dibawah PKP,” katanya.- Utusan Borneo

3212