JKNS Tidak Mampu Saring Semua Pekerja Asing Di Sabah

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (dua, kanan) menyerahkan bantuan COVID-19 daripada Osimal Foundation kepada Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Christina Rundi (dua dari kiri) dalam satu majlis di Hospital Mesra Bukit Padang hari ini.

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Sabah belum mampu melakukan ujian COVID-19 ke atas semua pekerja asing di negeri ini.

Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi, berkata semua hospital kerajaan tidak mampu berbuat demikian sekiranya sektor ekonomi dibuka dengan serta-merta.

“Jika ia tidak dibuka sekaligus, mungkin kita boleh menjalankan saringan pemeriksaan COVID-19 secara berperingkat.

“Kita sudah mengadakan mesyuarat mengenai pekerja asing dan Jabatan Kesihatan Sabah mendapati saringan pemeriksaan tidak boleh dijadikan tanda aras untuk membenarkan sektor ekonomi dibuka.

“Sebelum sesuatu sektor perniagaan dibuka, majikan harus memastikan semua kakitangannya, sihat selain majikan juga perlu berupaya menguruskan kakitangan yang mungkin jatuh sakit ketika bekerja,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Peralatan Perubatan daripada Yayasan OSIMAL, MSIC Life Insurance Berhad, Caring Pharmacy dan Klinik Perubatan Kenson, di sini, hari ini.

Majlis penyerahan disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Antara sumbangan diberikan termasuklah pelitup mulut dan hidung N95, pelindung muka dan peralatan perlindungan peribadi.

Dalam pada itu, Dr Christina berkata, Jabatan Kesihatan Sabah akan membantu semua sektor yang ingin membuka semula perniagaan dalam aspek menetapkan prosedur operasi standard (SOP).- Berita Harian

1518