Lori ‘Pos Laju’ Seludup Rokok RM1.8 Juta Tumpas

LAHAD DATU: Berselindung di sebalik penghantaran barang pos laju, seorang lelaki ditahan selepas didakwa memiliki rokok kretek dianggarkan bernilai hampir RM1.8 juta termasuk cukai, di Jalan Silam, di sini, Selasa lalu.

Dalam kejadian pukul 2.45 petang itu, difahamkan suspek, 27, menggunakan lori dan syarikat didaftarkan di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi kebenaran menjalankan kerja perkhidmatan penting yang membolehkannya bergerak melepasi beberapa sekatan jalan raya (SJR) dari Tawau ke Lahad Datu.

Berdasarkan surat tertera pada lori berkenaan, ia turut menyatakan pelepasan kakitangan yang berurusan dengan pihak Pos Malaysia Berhad bertarikh 15 April hingga 28 April 2020.

Penolong Ketua Pengarah Kastam, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah, Datuk Abdullah Jaafar menerusi kenyataan media berkata, taktik tersebut dipercayai digunakan bagi mengelak ditahan dan diperiksa pihak berkuasa yang bertugas di SJR sepanjang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan pegawai JKDM Bahagian Penguatkuasaan, Lahad Datu, berjaya menahan sebuah lori jenis Isuzu NPR di Jalan Silam, minggu lalu.

“Hasil pemeriksaan mendapati puluhan kotak dan bungkusan plastik hitam berisi 1,740,800 batang rokok kretek pelbagai jenama disimpan di bahagian penyimpanan barang di belakang lori tersebut,” katanya.

Tambahnya, ketika ditahan, suspek mendakwa hanya membawa barangan pos laju.

“JKDM percaya, sepanjang tempoh PKP, penyeludup menggunakan alasan penghantaran barangan pos bagi melakukan aktiviti penyeludupan bertujuan mengelak dari dikesan pihak berkuasa.

“Justeru, semua rokok tersebut termasuk lori dirampas bagi membantu siasatan mengikut Akta akastam 1967 dan Akta Eksais 1976,” katanya.

Menurut Abdullah, setakat in, ia merupakan tangkapan terbesar pihaknya di Sabah, tahun ini, membabitkan kes rokok kretek.

“Suspek kini direman selama 14 hari bermula dari tarikh ditahan, sebelum tindakan selanjutnya dilakukan,” katanya.- BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *